Pernah tak anda membuat keputusan ketika anda sedang marah? Adakah keputusan yang dibuat itu merupakan keputusan yang betul dan memberikan kepuasan pada diri anda? Pernah pada suatu hari itu, seorang lelaki sedang menghadapi masalah dengan kekasih beliau. Disebabkan tidak tahan dengan perangai dan sikap kekasihnya menyebabkan dia ingin membuat satu keputusan yang bagi saya tidak patut dia lakukan. Pada ketika itu, beliau berada dalam keadaan tertekan dan marah dan memberitahu pada saya yang dia ingin memutuskan perhubungan dengan kekasihnya. Lantas segera saya menasihatinya supaya bertenang dan jangan buat keputusan secara terburu-buru. Pada mulanya, beliau tidak mahu mendengar nasihat saya. Mungkin beliau masih dalam keadaan marah ataupun beremosi. Tetapi setelah diperjelaskan dengan lebih lanjut mengenai akibat dari keputusan yang dia bakal buat menyebabkan dia menarik semula keputusan itu. Dalam situasi ini, kita masih bernasib baik kerana saya sempat menghalang beliau dari melafazkan kata untuk putuskan perhubungan dengan kekasihnya. Dan setelah beliau berehat sebentar dan berfikir sejenak, barulah dia sedar yang jauh di sudut hati, masih ada lagi sifat sayang dan cinta pada kekasihnya. Dan baru-baru ini saya dapat tahu yang beliau sedang gembira dan ceria disamping kekasihnya yang tersayang. Apa yang saya cuba sampaikan dalam entri kali ini adalah, jangan biarkan diri kita membuat keputusan ketika kita sedang marah, beremosi ataupun fikiran terganggu. Berikan diri kita masa untuk bertenang terlebih dahulu. Biarkan diri dan minda kita berehat sebelum kita membuat sebarang keputusan. Keputusan yang dibuat secara terburu-buru yang dicampur dengan kemarahan dan emosi, akan menghasilkan keputusan yang mengecewakan, sedih dan mendukacitakan. |
Rabu, 3 Jun 2009
Tenangkan Diri Sebelum Membuat Keputusan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan