Adakah rakan wanitanya itu satu ancaman kepada anda? Dan pernahkah anda terdetik bahawa pasangan anda itu mungkin menipu tentang kawan wanitanya. Berkawan dengan rakan berbeza jantina bukanlah sesuatu yang pelik pada zaman serba moden ini. Tapi sejauh manakah kemesraan pasangan anda terhadap rakan wanita mereka? Apa pun sebelum anda menyiasat kebenaran tersebut, pastikan diri anda tidak diselubungi perasaan cemburu kerana perasaan tersebut boleh mengaburi keputusan anda. Cemburu juga boleh membuatkan anda berfikir tentang perkara yang bukan-bukan tentang pasangan anda serta rakan wanitanya. Selepas anda berjaya ketepikan perasaan cemburu tersebut, kaji cara persahabatan antara pasangan anda dan rakan wanitanya. Semasa membuat pemerhatian tersebut, carilah jawapan untuk soalan-soalan di bawah: 1. Berapa lama masa yang pasangan anda habiskan untuk rakannya? 2. Berapa kerap mereka berhubungan di telefon dalam sehari? 3. Adakah pasangan anda amat mementingkan setiap panggilan telefon yang diterimanya? 4. Adakah mereka nampak mesra lebih daripada rakan biasa? 5. Akhir sekali adakah naluri anda mengatakan bahawa wanita tersebut mahukan pasangan anda lebih dari seorang rakan. Jika mereka menghabiskan banyak masa bersama dan sering berhubung telefon, awas, perhubungan anda mungkin goyah disebabkan wanita tersebut. Jika rakan wanita itu berlebih-lebih sebagai contoh bersentuhan kulit secara mesra bila bercakap dengan pasangan anda, bermakna persahabatan mereka telah melampau batas. Memang antara sahabat boleh bergurau senda tetapi ada batasnya, ditambah pula dengan naluri anda kuat mengatakan yang wanita tersebut mahukan sesuatu yang romantis daripada pasangan anda. Tetapi sebelum anda bertindak, anda perlu ingat bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Rakan wanita ini hanya menjadi ancaman sekiranya pasangan anda membuatkan dia betul-betul menjadi ancaman anda. Mungkin pasangan anda tidak menyedari bahawa rakan wanitanya mempunyai niat serong, tapi tidak bermakna dia tidak boleh menilai dengan cara layanan rakan wanitanya yang berbeza dari sahabat lain. Jika mereka hanya kawan, pasangan anda juga mesti tahu had waktu yang sepatutnya dihabiskan dengan rakan wanitanya itu dan sejauh mana pentingnya panggilan telefon daripada wanita itu. Bermakna, jika anda rasa tidak selamat atau rasa terancam dengan sikap wanita tersebut, perlu diingatkan juga bahawa pasangan anda itu juga sepatutnya menjaga perasaan anda dan tidak bersikap sesuka hatinya. Berbicara untuk elak syak wasangka Jika persahabatan pasangan anda dengan rakan wanitanya menjadi satu gangguan pada perasaan anda adalah lebih baik jika anda berdua duduk berbincang. Beritahu dia apa yang anda rasa dan pastikan anda tidak minta sesuatu yang membuatkan dia rasa terikat dengan anda. Ini kerana pasangan anda sebenarnya berhak untuk berkawan dengan sesiapa sahaja sama seperti anda juga berhak memilih sesiapa sahaja sebagai rakan. Pasangan yang menghormati anda akan menerima dan mengambil berat tentang apa yang merisaukan anda. Dan perhatikan juga adakah pasangan anda berubah sekali gus membuatkan anda berasa lebih selesa dengan situasi baru tersebut. Jika dia tidak mengendahkan kerisauan anda, maka tibalah masa untuk anda berdua mengkaji dan memastikan adakah kehadiran anda bermakna untuk dia. Tidak dinafikan sahabat memang perlu tetapi janganlah sampai merosakkan hubungan intim anda dan pasangan. Memang pasangan anda bebas berkawan namun jika persahabatan tersebut mengganggu perhubungan anda maka persahabatan tersebut perlu dihentikan. "Tidakkah saya nampak terlalu mengongkong jika meminta dia jangan berkawan dengan perempuan?" Itu hanya dilakukan apabila anda pasti bahawa 'ada sesuatu' yang luar biasa pada persahabatan mereka. Tidak salah jika anda berbuat demikian jika anda pasti bahawa wanita itu tidak berniat ikhlas terhadap persahabatannya dengan pasangan anda. Memang pasangan anda patut menyedari hakikat tersebut dan selesaikan dengan baik, namun perlu diingat anda juga berhak untuk menyuarakannya jika anda mahu. Anda juga perlu mengawal diri, bersikap tenang dan bertutur dengan jelas untuk melindungi hak anda. Jangan sesekali bergaduh, reaksi si dia boleh memberitahu respons dia terhadap isu tersebut. Jika dia bersikap negatif terhadap kerisauan anda, mungkin ini memberitahu anda bahawa hubungan anda perlukan 'cuti panjang', mungkin pada tempoh tersebut dia boleh berfikir dan membuat keputusan apa yang dimahukan dalam hidupnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan